Sunday, 13 January 2013

Terima kasih Allah kerana memberi Aqiedah sebagai sahabatku...

Kerap aku menitiskan air mata kerana kesedihan.
Tapi kali ini aku menangis kerana rasa syukur.

Terima kasih ya Allah kerana meletakkan aku dalam kalangan orang yang mencintai dan menghargai aku

Tatkala membasahkan rongga tekakku dengan cecair jernih, mataku tertangkap pada sebuah bungkusan yang tidak pernah muncul di mataku. Hampir tersedak air yang aku minum. Ya Allah, aku menerima sebuah pemberian yang bermakna, kasih sayang-Mu disampaikan menerusi hambamu yang sangat mencintaimu lebih dari aku. Aku khilaf selama ini. Terlalu jauh jika ku bandingkan diriku dengan Mu berbanding dia.

Sepucuk warkah sempena ulangtahun hari kelahiranku turut dititipkan. Aku tersenyum. Sampul merah jambu yang ditutup kemas dengan sebentuk hati. Perlahan-lahan aku buka warkah tersebut. Aku baca. Disekelilingnya ada perkataan 'Love you'. Aku tersenyum. Sahabatku itu sememangnya jiwang. Tidak ku sangka. Aku tergelak. Habis satu muka surat ku baca. Tinggal lagi sebelah muka surat. 
Kau antara memori terindah yang pernah berlaku dalam tempoh 3 tahun kita kenal di UK
Air mataku bergenang. Terma 'memori terindah' itu menusuk jiwaku. Teringat kembali saat aku mengusiknya.  Tidak pernah sekali dia melenting, tidak pula merajuk. Disebabkan itu, aku gemar mengacau ketenteraman suasana biliknya. Aku tahu suatu hari nanti, apabila dia berumah tangga, suaminya juga akan turut gemar mengusiknya. Pernah tengok drama korea 'Full House' bukan? Begitulah nasibnya kelak. *Gelak jahat*. Tapi, aku mahu kau tahu, aku juga menyayangi dirimu walaupun kau kerap mengatakan yang kau tidak berbakat. Percayalah, Allah mencipta makhluknya berbeza-beza, dan aku yakin bakatmu ada terselit yang kau sendiri belum pernah sedar. 
I love you more lah....
Di akhir warkah, dia menulis 'semoga bermanfaat'. Mataku tertumpu kepada bungkusan 'polka dot' putih merah. Aku buka dan terkesima. Itu adalah sebuah tafsir Al-Quran. Kini, aku punya dua naskah tafsir Al-Quran dalam simpananku. Jika Al-Quran selalu dijadikan sebagai hantaran dalam sebuah perkahwinan, kini aku dipersembahkan sebuah tafsir Al-Quran sempena ulangtahun kelahiranku. Saat umurku menginjak ke angka 22, diriku seharusnya bertambah matang dan bertambah amalan. Ia bukan sekadar hiasan, ia adalah cinta dan sayang Allah dan sahabat baikku.

Semoga hidayah terus diberikan kepadaku. Terima kasih sahabat, terima kasih teman. Terima kasih Allah... 

No comments:

Post a Comment