Tuesday, 27 May 2014

Sepetang di taman bunga

Sudah begitu lama tidak ku kemas kini catatan di alam maya ini, berikutan hal-hal yang tidak dapat ku elakkan. Alhamdulillah, pengajian tahun akhir aku akan berakhir tidak lama lagi. Tidak sabar pula rasanya hendak menikmati kegembiraan selepas penatnya belajar di bumi asing ini. Namun, aku tahu, kegembiraan itu hanya bersifat sementara. Pengakhiran pengajianku di bumi Eropah ini tidak bermakna aku akan berhenti belajar. Tetapi, ia sebenarnya menjadi satu titik permulaan kepada fasa baru hidupku iaitu fasa bekerja. Aku bersyukur ke hadrat Allah swt. kerana memurahkan rezeki aku dengan penyampaian berita gembira melalui penasihat pelajar PETRONAS minggu lalu. Alhamdulillah, aku lulus temuduga kerja yang telah aku tempuhi 2 bulan yang lalu. Pengisian dan tips tentang sesi temuduga itu akan aku titip kan di catatan seterusnya. Aku masih terus dan terus berdoa supaya aku mampu memperoleh ijazah kelas pertama ataupun kedua teratas kelak. Semoga penanda kertas tugasanku lembut hati untuk memberiku markah yang tinggi untuk aku mencapai keputusan yang baik.

Namun, itu bukanlah perkara utama dalam catatan kali ini. Seperti yang tertera di baris utama, aku akan berkongsi tentang pengalamanku di taman bunga. Semua pasti merasa pelik dengan diriku. Orang akan berkata
"Taman bunga sahaja. Itu pun hendak diberitahu"
Taman bunga yang sudah aku lawati baru-baru ini bukanlah sebuah taman bunga yang biasa dijumpai di negaraku, Malaysia. Taman bunga ini menjadi salah satu tarikan dunia kerana ia merupakan taman bunga terbesar yang menanam variasi jenis bunga tulip, hyacinth, daffodils dan beberapa specis bunga yang lain. au tidak berhenti mengucap syukur kerana diberi kesempatan untuk melihat keindahan ciptaan Allah yang Maha Esa. Subhanallah... Pujian itu kerapkali terungkap di bibir dan hati ku tatkala melihat bunga-bunga yang berwarna-warni itu. Jika apa yang aku lihat ini sudah begitu indah di mataku, aku tidak mampu membayangkan betapa indahnya syurga Allah kelak.













No comments:

Post a Comment